Pada hari ini dapat diperhati makin ramai yang dahulunya pada satu masa itu sangat cintakan pemerintah teratas mulai lantang mengutuk dan mencaci saban hari. Mungkin dahulunya mereka ini tidaklah menyokong sebarang episod himpun seperti hari ini, kerana dilihatnya dengan rasa jijik dan menjengkelkan, namun kini mulai belajar menyokong kerana tersemat perasaan yang jijik dan jengkel di hati terhadap sang pemerintah. Dapat dilihat ramai ini menterjemahkannya dengan menghadiri himpun atau sekadar menyantuni dari jauh dibalik hati dan kiriman status-status di media sosial. Ditambah pula ada yang mula mengerti untuk bersorak riang dan mula mendukung hanya apabila melihat “Tokoh” mereka turut hadir ke perhimpunan yang sedang dahulunya “bukanlah budaya kita”. Bak kata orang, “manusia berubah”. (Atau mungkin melayu mudah lupa dimana perlu disokong kini?).
Episod ini adapun telah disaji dan dijiwai oleh sebahagian yang lain lama sebelum ini. Dimana ia juga telah berulang kali telah dipersetankan tanpa belas oleh yang diatas. Adakah tergeraknya hati yang berbolak balik ini kerana tidak lagi tahan akan perkhabaran yang dipermainkan kebelakangan ini? Permainan imbuhan melangit terzahir dan dinilai tidak masuk akal katanya, walhal perselewengan itu tidak pernah mengenal berapa harganya tidak kira sikit mahupun “derma”. Jika dahulu, laju sahaja meluncur pernyataan nafi “fitnah” dan terus bisu jika diperdengar isu serupa, apa mungkin angka sebelum ini tidak begitu mengangkasa maka mula berubah persepsi dan berpendapat “khabar ini mungkin betul dan perlu disiasat”. Nah, ini hanya satu daripada yang banyak, tidak dinafi juga ramai mulai merasa makin terhantuk dan terhimpit dengan kesulitan yang terpalit secara terus pada badan sendiri didalam urusan sehari-harian sebanyak enam peratus. Almaklum sebelum ini tidak pernah melenting kerana tidak melibat periuk sendiri sebegini mungkin? Ini satu dua, jika ingin disenaraikan boleh berjela lagi tetapi cukuplah ini sebagai permulaan.
Ya syukur manusia berubah, mana tidak zaman juga berubah, maklumat tercapai semakin mudah, pantas dipanjangkan, ditelanjangkan dan juga lebih mudah disaring dengan pelbagai sumber. Kita lupa dahulu, permainan isu itu sungguh mudah dipersetankan dengan “sumber perdana” yang kini dianggap hanya sebagai sebuah medium pembohongan. Walau apapun syabas kuucap yang mulai “melihat” kini. Berubah atau tidak, masih memikir perut sendiri atau gigih mencari solusi bersama. Sedarlah episod ini bukan hanya bermula pada hari ini. Ia sudah tertanam lama dan mengakar, lalu membunga dalam satu proses yang panjang dan mulai memekar pada hari ini. Siapapun kamu, ayuh terus kehadapan bersama membangunkan negeri ini demi keberlangsungan keharmonian anak cicit kita. Moga episod hari ini, dapat membentuk negeri kita ke arah lebih baik dengan tangan kita sendiri daripada terus melarat. Demi anak-anak kita. Demi anak-anak bangsa. Demi anak-anak Malaysia. Selamat Merdeka Negeriku.