Adalah menjadi satu tabiat buat aku, dan aku juga rasa sama seperti ramai orang lain, untuk melayari hiburan-dalam-penerbangan yang ada ditawarkan. Maka untuk dijadikan cerita, aku melakukan perkara yang sama dalam penerbangan terakhir pergi dan pulang dari China/UK pada Mac lalu yang memakan masa berhari. Filem, rancangan TV dan juga lagu, telah aku layari. Antara filem yang aku terlintas ketika itu termasuk juga beberapa filem mendapat beberapa anugerah seperti filem ‘Manchester by the Sea’ dan ‘La La Land’.
Tapi aku lebih tertarik untuk menceritakan sebuah filem yang aku jumpa dan tonton dari senarai filem di bahagian filem-filem asia. Filem yang aku maksudkan adalah filem ‘Kimi no Nawa’ atau lebih dikenali dengan nama inggerisnya ‘Your Name’. Aku tahu terdapat banyak pengulas memuji tersebut. Tambahan pula sudah sekian lama aku tidak menonton anime.
Cerita berkisar mengenai dua pelajar sekolah yang saling tidak mengenali satu sama lain. Mitsuha seorang pelajar perempuan di Itomori telah bertukar tubuh secara mistik beberapa kali dengan Taki seorang pelajar lelaki di Tokyo. Beberapa aksi lucu dapat ditonton apabila mereka bertukar badan. Kedua mereka menerima respon orang disekeliling mereka yang bercakap mengenai perubahan perangai Taki dan Mitsuha dari hari ke hari. Adakalanya mereka mengatakan hari dimana badan mereka bertukar sebagai sebuah mimpi sahaja.
Mitsuha menerima nota “Siapa awak?” didalam buku tulisnya di satu babak awal apabila beliau di dalam kelas darjah. Bermula dari itu Mitsuha dan Taki mula berhubung dengan bertukar mesej apabila bertukar badan, melalui menconteng muka, dan juga menulis nota di dalam telefon bimbit. Tidak cukup dengan itu, Mitsuha dan Taki mula bertindak mencampur dalam urusan peribadi seperti dalam perhubungan cinta mereka.
Kemuncak cerita terjadi apabila mereka tidak lagi berubah badan. Ini menimbulkan sifat ingin tahu kedua-dua Mitsuha dan Taki, untuk mencari dan bersemuka antara satu sama lain. Plot bertambah menarik dengan isu mistik yang sangat beremosi melibatkan kedua-dua karekter utama. Dua cerita diantara Mitsuha dan Taki dapat ditonton yang mana keduanya berkisar dengan kisah meteorit yang jatuh di kawasan Itomori iaitu daerah tempat tinggal Mitsuha. Selepas beberapa ketika tidak bertukar badan, beberapa memori ketika bertukar badan juga semakin beransur hilang. Pada ketika ini, cerita menjadi sangat beremosi apabila kita ditanamkan ide mengenai pengakhiran yang sedih. Namun kisah seterusnya bagaimana mereka bertemu diakhirnya adalah sesuatu yang perlu ditonton dan tidak diceritakan disini.
Kimi No Nawa sebuah filem anime yang menyentuh emosi dan menarik untuk ditonton walaupun konsep ceritanya mudah, iaitu hanya mengenai pertukaran tubuh antara 2 karekter. Aku memberi rating 9.2/10. Ya filem ini sangat baik bagi pendapat aku, dan perlu ditonton terutamanya bagi peminat tegar animasi, fiksi dan drama. Selamat Menonton!